DEBAK: Kempen Imunisasi Tambahan Campak dan Rubella (MRSIA) yang dilaksanakan selama tiga bulan membuktikan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam melindungi kesihatan awam, khususnya generasi muda.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (Pembangunan Kesejahteraan Komuniti), Datuk Mohamad Razi Sitam berkata, kejayaan kempen tersebut mencerminkan usaha kolektif pelbagai pihak dalam memastikan setiap kanak-kanak menerima perlindungan imuniti yang menyeluruh.
Beliau berkata, kempen imunisasi tambahan MR yang berlangsung dari 1 Ogos hingga 31 Oktober 2025 bukan sahaja bertujuan melindungi kanak-kanak daripada penyakit campak dan rubella yang boleh dicegah melalui vaksin, malah penting untuk mencapai imuniti kelompok.
“Ia penting bukan sahaja untuk melindungi individu, tetapi juga seluruh komuniti, terutamanya golongan yang tidak dapat divaksin atas sebab kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Apresiasi MRSIA di Dewan Perpaduan Debak, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Datuk Mohamad Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas merakamkan penghargaan kepada Pejabat Kesihatan Bahagian Betong yang berjaya mencatat prestasi cemerlang dengan menduduki tempat kedua terbaik di peringkat negeri Sarawak.
Katanya, pencapaian sasaran yang tinggi, liputan imunisasi yang meluas serta sambutan menggalakkan daripada ibu bapa adalah hasil dedikasi berterusan pasukan kesihatan, khususnya profesion kejururawatan, selain kerjasama erat Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), agensi kerajaan serta sokongan padu masyarakat.
“Melalui kempen ini, kita bukan sekadar memberikan suntikan vaksin, tetapi menyemai harapan untuk masa hadapan yang lebih sihat, tanpa kanak-kanak menderita akibat komplikasi campak seperti pneumonia, radang otak atau kebutaan,” jelasnya.
Beliau turut menekankan kepentingan usaha berterusan bagi menghapuskan ancaman Sindrom Rubella Kongenital yang boleh menyebabkan kecacatan serius kepada bayi dalam kandungan.
Sehubungan itu, Datuk Mohamad Razi menegaskan bahawa program imunisasi rutin perlu diteruskan dan tahap kesedaran awam mengenai kepentingan vaksinasi harus terus diperkukuhkan demi kesejahteraan komuniti secara menyeluruh.-EDISI UKAS