Ahli Parlimen Mukah Sumbang RM350,000 Bina Dewan SK Kampung Petanak
MUKAH: Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Mukah Dato Hanifah Hajar telah menyumbang RM390,000 kepada Sekolah Kebangsaan Petanak dalam usaha meningkatkan kemudahan pendidikan di sini.
Melalui peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), beliau menyalurkan sumbangan sebanyak RM350,000 bagi pembinaan dewan tersebut yang kini dikenali sebagai Dewan Laila Taib SK Kampung Petanak.
Selain itu, sekolah turut menerima perabot baharu bernilai RM40,000 menerusi Projek Mesra Rakyat (PMR) melibatkan kemudahan kerusi dan meja bagi keselesaan murid.
Berucap dalam majlis tersebut, Dato Hanifah berkata, komitmen menambah baik fasiliti pendidikan di Parlimen Mukah akan terus diberi keutamaan bagi memastikan murid-murid mendapat persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
“Kemudahan seperti dewan dan perabot baharu ini diharap dapat memberi keselesaan kepada warga sekolah serta menyuntik semangat murid untuk terus menimba ilmu,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sokongan kepada pembangunan pendidikan luar bandar akan diteruskan dari semasa ke semasa demi memastikan generasi muda Mukah mendapat peluang pembelajaran yang lebih baik dan selesa.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kampung Petanak Ramlan Ali turut merakamkan penghargaan kepada Dato Hanifah atas sumbangan besar yang telah merealisasikan impian warga sekolah untuk memiliki dewan baharu yang lebih selesa dan selamat.
Menurut beliau, dewan serba guna itu bukan sahaja menjadi nadi kepada penganjuran aktiviti sekolah, malah akan menjadi pusat kegiatan masyarakat yang bermanfaat kepada seluruh komuniti Kampung Petanak.
Beliau turut berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine atas sokongan berterusan serta kepada semua pihak yang membantu menyempurnakan projek tersebut.
Turut hadir Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip, Guru Besar SK Kampung Petanak Afian Bokhan dan Pemanca Mohamad Jali Kawi. -EDISI UKAS