Nilai 'Kind and Caring' Diperkukuh Sebagai Budaya Kerja Teras Pejabat Residen Sarikei
SARIKEI: Nilai 'Kind and Caring' terus ditekankan sebagai budaya kerja utama di Pejabat Residen Bahagian Sarikei bagi mewujudkan suasana kerja kondusif yang seterusnya mampu meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan di peringkat bahagian.
Residen Bahagian Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong berkata penerapan nilai 'Kind and Caring' dalam persekitaran kerja bukan sahaja memperkukuh hubungan sesama warga kerja, malah menjadi asas penting kepada pembentukan pasukan yang harmoni, berdisiplin dan berorientasikan perkhidmatan.
Jelasnya, sambutan Krismas merupakan ruang terbaik untuk menghayati nilai memberi, berkongsi serta menyebarkan kegembiraan, yang selari dengan usaha membudayakan sikap saling menghargai dan prihatin dalam organisasi.
“Aktiviti pertukaran hadiah yang dianjurkan juga berperanan sebagai medium mengeratkan hubungan profesional serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan pegawai dan kakitangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis X-Mas Gift Exchange 2025, di Pejabat Residen Bahagian Sarikei pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepentingan nilai perpaduan, hormat-menghormati dan toleransi sebagai teras kepada kerjasama berpasukan yang mantap dan berkesan.
Pada majlis tersebut, Datu Michael turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pejabat atas komitmen serta dedikasi sepanjang tahun, selain mengajak mereka mengekalkan motivasi tinggi dan budaya kerja positif menjelang tahun baharu.-EDISI UKAS