Program ‘Christmas Tree Lighting’ Semarakkan Perpaduan dan Kelestarian
SARIKEI: Program ‘Christmas Tree Lighting’ dan Pertandingan Menghias Pokok Krismas 2025 anjuran Majlis Daerah Sarikei berlangsung meriah sebagai usaha memperkukuh perpaduan komuniti dan meningkatkan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei Dato’ Sri Huang Tiong Sii, berkata program itu bukan sahaja menyemarakkan sambutan Krismas, malah menggalakkan masyarakat menghargai persekitaran melalui penglibatan kreatif dan inovatif.
“Program ini bukan sekadar meraikan semangat Krismas, tetapi turut menjadi platform mendidik masyarakat tentang kepentingan kelestarian dan tanggungjawab menjaga alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yanh dibacakan oleh Pengerusi Majlis Daerah Sarikei, Kaunselor Stephen Wong Kie Yong, pada program tersebut pada Jumaat.
Program ‘Christmas Tree Lighting’ menyerlahkan suasana perayaan melalui pemasangan pokok krismas dan lampu hiasan di kawasan tumpuan awam, sekali gus mewujudkan suasana ceria dan harmoni.
Pertandingan Menghias Pokok Krismas pula dianjurkan buat julung kali dengan fokus kepada penggunaan bahan kitar semula dan konsep mesra alam selaras dengan nilai pembangunan mampan.
Sebanyak sembilan penyertaan diterima, antaranya Green Gift, Green Christmas, Christmas with Less Waste, Wowlife Nutri Home, Methodist Town Church; Green Christmas Crew, The Zero Waste Squad; Eco Heroes The Christmas, Nyelong Park Methodist Church dan Jingle Kringle Christmas.
Setiap pasukan perlu menghasilkan dekorasi menggunakan sekurang-kurangnya 70 peratus bahan kitar semula sebagai komitmen terhadap agenda hijau.
Pertandingan diadakan dari 7 November hingga 12 Disember 2025, manakala sesi penilaian di tapak berlangsung pada 10 Disember. -EDISI UKAS