UNIFOR Salur RM580,000 Untuk Penambahbaikan & Pembangunan Kemudahan Sekolah di Miri
MIRI: Sebanyak RM580,000 telah disalurkan oleh Unit Hal Ehwal Agama‑Agama Lain (UNIFOR) kepada Lembaga Sekolah SMK St. Columba Miri dan SK St. Columba Miri bagi tujuan penyelenggaraan, penambahbaikan dan pembangunan kemudahan sekolah.
Penyerahan cek disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.
Daripada berjumlah berkenaan, RM400,000 telah diperuntukkan untuk SMK St. Columba Miri manakala RM180,000 pula diberikan kepada SK St. Columba Miri.
Datuk Sebastian berkata, sumbangan itu bertujuan membantu sekolah menangani masalah kemudahan yang semakin uzur serta menampung keperluan penyelenggaraan asas, khususnya bagi bangunan sekolah yang telah lama digunakan.
“Sebahagian besar struktur sekolah berusia puluhan tahun dan memerlukan peruntukan kewangan yang besar bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pelajar serta guru.”
“Kerajaan negeri Sarawak melalui UNIFOR komited untuk terus bekerjasama dengan pihak sekolah bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif dapat dikekalkan,” ujarnya ketika berucap dalam majlis perasmian LED skrin Dewan dan Rural Transformation Project (RTP) di SMK St. Columba Miri, pada Jumaat.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus memperkukuh pembangunan pendidikan, selaras dengan usaha membina masyarakat yang inklusif dan seimbang, tanpa mengira latar belakang agama atau kaum.
Dalam majlis berkenaan, wakil-wakil sekolah turut menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri serta UNIFOR atas keprihatinan mereka terhadap pendidikan masyarakat.
Mereka menekankan bahawa dana tersebut amat bermakna dan akan digunakan secara berhemah untuk manfaat jangka panjang sekolah dan para pelajar.
Majlis berkenaan mengukuhkan kerjasama antara kerajaan negeri dan pihak sekolah bagi memastikan pendidikan berkualiti dan persekitaran pembelajaran selamat.-EDISI UKAS