MIRI: Sebanyak 72 pertubuhan, organisasi, dan badan amal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin menerima geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM525,910.00.
Majlis penyerahan geran dianjurkan oleh SUPP Cawangan Senadin Miri dan disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin.
Beliau berkata, agihan geran ini bertujuan untuk menyokong aktiviti organisasi serta membantu pelaksanaan program yang dapat meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat.
“Penyerahan geran ini merupakan sesi terakhir pada tahun ini.”
“Saya berharap geran ini dapat memacu pelaksanaan pelbagai program sosial, kebajikan, dan komuniti yang memberi manfaat besar kepada masyarakat. Kita mahu organisasi penerima memainkan peranan aktif dalam pembangunan kawasan,” katanya ketika berucap dalam majlis berkenaan di Pejabat SUPP Cawangan Senadin, Permyjaya, pada Sabtu.
Beliau turut menekankan bahawa keharmonian yang dinikmati di Sarawak hari ini adalah hasil daripada usaha berterusan para pemimpin yang menitikberatkan perpaduan dalam kalangan rakyat.
“Kita semua adalah anak-anak Sarawak. Tak kira kaum atau agama, kita dalam satu keluarga yang bernama Sarawak,” tambahnya.
Majlis berkenaan telah memperkukuh kerjasama antara kerajaan negeri dan pertubuhan masyarakat dalam memastikan pembangunan komuniti yang inklusif dan berkualiti.-EDISI UKAS