BBP Lutong Perkukuh Perpaduan Komuniti, Hargai Kebajikan Anggota
MIRI: Semangat perpaduan dan kebersamaan komuniti jelas terserlah menerusi Majlis Riang Ria Bersama Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong yang menghimpunkan sambutan pra Krismas, tahun baharu, hari lahir anggota serta Hari Keluarga Bomba Lutong 2025.
Majlis itu menghimpunkan lebih 70 tetamu terdiri daripada warga bomba, keluarga, pemimpin masyarakat serta wakil gereja, sekali gus mencerminkan hubungan erat antara pasukan keselamatan awam dan komuniti setempat.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin menzahirkan penghargaan kepada BBP Lutong atas inisiatif menganjurkan program yang menyatukan anggota bomba, keluarga serta masyarakat pelbagai latar belakang.
Menurut beliau, kerjasama erat antara BBP Lutong dan Gereja BEM Vista Perdana Iban Fellowship mencerminkan kekuatan perpaduan masyarakat majmuk di Miri, selari dengan semangat keharmonian yang menjadi asas kestabilan dan kemajuan Sarawak.
Beliau turut menggalakkan penganjuran lebih banyak program berasaskan komuniti di balai bomba sebagai medium pendidikan awam, khususnya dalam aspek pencegahan kebakaran dan kesedaran keselamatan, di samping mengiktiraf peranan penting anggota bomba sebagai barisan hadapan ketika bencana dan kecemasan.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan oleh Penghulu Ngadan Melintang dalam majlis itu pada Jumaat.
Dalam majlis tersebut, sumbangan berjumlah RM5,000 di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP) 2026 diumumkan untuk BBP Lutong selain sumbangan tambahan RM1,000 bagi menyokong penganjuran program berkenaan.
Ketua Balai BBP Lutong, Henry Jugah turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat dan menegaskan komitmen balai itu untuk terus memperkukuh hubungan komuniti serta memperkasakan keselamatan awam di kawasan tanggungjawabnya.-EDISI UKAS