Hari Apresiasi Tabika KEMAS Ke-40 Hargai Peranan Pendidik dan Ibu Bapa
BINTULU: Pendidikan awal kanak-kanak terus diberi keutamaan apabila Hari Apresiasi Kanak-Kanak Tabika KEMAS Ke-40 dan Majlis Akhir Tahun Bersama Kanak-Kanak Tabika KEMAS Tahun 2025 berlangsung meriah di Dewan Muktamar Kampung Jabai, di sini pada Sabtu.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, yang menegaskan bahawa pendidikan awal merupakan asas penting dalam pembentukan sahsiah, perkembangan kognitif serta kemahiran sosial kanak-kanak.
Menurut beliau, Tabika KEMAS memainkan peranan signifikan dalam menyediakan pendidikan prasekolah yang berkualiti dan berstruktur, khususnya kepada masyarakat luar bandar, sekali gus menyumbang kepada pembentukan generasi muda yang berilmu, berdisiplin dan berakhlak mulia.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pendidik Masyarakat Tabika KEMAS atas dedikasi dan komitmen tinggi dalam mendidik anak-anak, di samping mengiktiraf peranan ibu bapa dan penjaga sebagai rakan strategik dalam memastikan kejayaan pendidikan awal kanak-kanak.
Majlis berkenaan turut meraikan kanak-kanak Tabika KEMAS dari Kampung Jabai Kelas A, Kampung Jabai Kelas B serta NKRA Kampung Hulu Nyalau bagi sesi Tahun 2025, yang disifatkan sebagai hasil kerjasama erat antara guru, ibu bapa dan komuniti setempat.-EDISI UKAS