MERADONG: Penyalahgunaan dadah adalah ancaman serius yang bukan sahaja menjejaskan kesihatan individu, malah merosakkan masa depan generasi muda serta keharmonian institusi keluarga dan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, statistik semasa menunjukkan golongan belia merupakan kumpulan paling terdedah kepada pengaruh dadah, sekali gus menuntut tindakan segera yang menyeluruh dan bersepadu daripada semua pihak.
“Dadah adalah musuh nombor satu negara. Ia bukan sahaja merosakkan kesihatan, malah memusnahkan masa depan generasi muda, memecah-belahkan keluarga dan mengancam keselamatan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penangguhan Program One Stop Committee (OSC), Menangani Isu Dadah dan Substances (MIDS) Daerah Meradong Tahun 2025 bertemakan ‘Masyarakat Sejahtera, Tanpa Dadah’ anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah Meradong di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Ding menjelaskan bahawa kerajaan melalui pelbagai agensi berkaitan telah melaksanakan pelbagai inisiatif melibatkan pencegahan, rawatan dan pemulihan bagi menangani masalah dadah.
Namun, tegasnya, kejayaan usaha tersebut amat bergantung kepada sokongan dan penglibatan aktif masyarakat.
Menurutnya, ibu bapa perlu memainkan peranan memantau dan membimbing anak-anak, pihak sekolah harus memperkukuh pendidikan pencegahan, manakala komuniti setempat pula perlu menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa.
Justeru, beliau menyeru agar masyarakat menjadi agen perubahan agar menolak budaya dadah, menyebarkan kesedaran, dan membantu mereka yang terjebak untuk kembali ke pangkal jalan.
“Ingatlah, membasmi dadah bukan hanya tanggungjawab kerajaan, tetapi tanggungjawab kita bersama,” ujarnya lagi.
Turut hadir ialah Ketua Polis Daerah Meradong DSP Tansli Mering, Pegawai Daerah Meradong Thomas Geoffrey Kandawang serta Setiausaha Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ) Lau Chi Sing.-EDISI UKAS