Sarawak Perlu Autonomi Kesihatan, Perkukuh Sistem & Lindungi Profesion Doktor
KUCHING: Sarawak menegaskan keperluan mendapatkan autonomi kesihatan sepenuhnya bagi memperkukuh sistem kesihatan dan melindungi profesion doktor di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, menegaskan doktor digalakkan aktif dalam Pertubuhan Perubatan Malaysia (MMA) atau badan profesional lain bagi memperkukuh profesion perubatan.
“Berkhidmat dalam MMA atau mana-mana badan profesional perlu dilakukan ketika senang dan susah, bukan hanya apabila timbul masalah,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis makan malam sempena ulang tahun ke-53 MMA di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Sabtu.
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu turut menekankan tanggungjawab setiap doktor untuk bersama-sama menyokong dan menyumbang kepada MMA bagi mempertahankan kepentingan profesion perubatan, khususnya dalam aspek dasar kesihatan.
“Setiap doktor mempunyai tanggungjawab untuk menyertai dan menyumbang kepada MMA. Ini soal mempertahankan profesion itu sendiri,” ujarnya.
Datuk Amar Prof Dr Sim menjelaskan Pelan Induk Kesihatan Sarawak (PIKS) bertujuan menggaji doktor tempatan, mengekalkan bakat, dan memastikan semua rakyat negeri ini mendapat akses kepada penjagaan kesihatan.
“PIKS sebenarnya merupakan pelan kesihatan menyeluruh yang menjadi keutamaan kami kerana Sarawak mahu memiliki kuasa dalam menentukan hala tuju sistem kesihatannya sendiri,” tegasnya.
Jelasnya, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan syarikat farmaseutikal bagi membolehkan Sarawak terlibat dalam percubaan klinikal, seterusnya merealisasikan matlamat untuk menjadi peneraju inovasi kesihatan di Malaysia. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Betrice Britney Dee
Foto: Betrice Britney Dee & Ramzani