DARO: Keselesaan pelajar sekolah luar bandar wajar diberi perhatian dan layanan yang adil kerana mereka juga berpotensi untuk dididik serta membesar menjadi warganegara yang produktif kepada negara.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, walaupun urusan pendidikan berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan, masih tidak nampak kesungguhan dan usaha yang serius untuk membaiki kemudahan dan keadaan sekolah terutama di luar bandar yang masih meresahkan.
Menurut beliau, kebanyakan sekolah di kawasan luar bandar sangat bergantung kepada sumbangan wakil rakyat melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi menampung pelbagai program konstruktif untuk pelajar.
"Lebih malang dan meresahkan ialah bila keadaan sekolah yang telah uzur turut mengalami beberapa kerosakan yang memerlukan kerja baik pulih dengan segera sehingga pihak sekolah tiada pilihan terpaksa meminta bantuan pihak PIBG untuk memohon dana dari wakil rakyat,” katanya semasa Majlis Apresiasi Kecemerlangan Murid dan Graduasi Prasekolah serta Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Sebako pada Sabtu.
Datuk Abdullah menjelaskan, jika hanya melibatkan beberapa buah sekolah yang memerlukan bantuan, wakil rakyat mungkin masih mampu membantu, namun realitinya ramai wakil rakyat di kawasan pedalaman terpaksa turut memberi tumpuan menyalurkan dana bagi membaiki lebih 15 buah sekolah daif di kawasan masing-masing.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan terhadap kecekalan dan pengorbanan barisan pengerusi serta Ahli Jawatankuasa PIBG di kawasan beliau yang sentiasa menunjukkan komitmen tinggi melalui pelbagai usaha bagi membantu pengurusan sekolah dan melancarkan aktiviti pelajar.
Beliau turut menegaskan harapan agar Kerajaan Persekutuan menyerahkan sepenuhnya peruntukan pengurusan dan pembangunan pendidikan di Sarawak kepada Kerajaan Sarawak, kerana terbukti kerajaan negeri lebih efisien dan cekap dalam proses pelaksanaan serta menyelesaikan pelbagai isu pembangunan.-EDISI UKAS