Kadar Pendermaan Darah Sibu Antara Tertinggi Negara
SIBU: Sibu terus mencatat prestasi membanggakan apabila berada dalam kalangan kawasan dengan kadar pendermaan darah tertinggi di negara ini, sekali gus mencerminkan tahap keprihatinan serta tanggungjawab sosial yang tinggi dalam kalangan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng berkata, Sarawak sejak beberapa tahun kebelakangan ini konsisten merekodkan antara kadar pendermaan darah per kapita tertinggi di Malaysia, selain mencatatkan peratusan penderma darah tetap tertinggi di peringkat nasional.
“Pada tahun lalu sahaja (tahun 2024), Hospital Sibu telah mengumpul lebih 8,300 beg darah, manakala hospital-hospital daerah di seluruh Sarawak Tengah menyumbang lebih 4,500 beg darah, menjadikan jumlah keseluruhan kutipan tahunan sebanyak 12,836 beg darah.
“Angka-angka ini bukan sekadar statistik, sebaliknya melambangkan nyawa yang diselamatkan, keluarga yang diberi harapan dan masa depan yang dipulihkan,” katanya ketika berucap pada Malam Penghargaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Cabang Sibu 2025, di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, pencapaian berkenaan bukanlah suatu kebetulan, sebaliknya hasil kepimpinan yang berkesan, kerjasama erat pelbagai pihak serta sokongan berterusan masyarakat terhadap keperluan bekalan darah.
Tambah beliau, lebih 80 peratus penderma darah di Sibu pada tahun lalu merupakan penderma tetap, sekali gus jauh mengatasi sasaran nasional sebanyak 65 peratus.
Dalam pada itu, Joseph menegaskan peranan penting PBSM, khususnya cabang Sibu, sebagai tulang belakang kepada kejayaan program pendermaan darah di Sarawak.
Beliau berkata, PBSM bukan sahaja berperanan menganjurkan kempen pendermaan darah, malah aktif mendidik masyarakat, menggerakkan sukarelawan serta membina kesedaran jangka panjang melalui kerjasama erat dengan Hospital Sibu, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan rakan komuniti.-EDISI UKAS