2,345 Peserta Meriahkan Sarikei Unity Run 7.0, Perkukuh Perpaduan Komuniti
SARIKEI: Seramai 2,345 peserta memeriahkan Sarikei Unity Run 7.0 anjuran Pejabat Daerah Sarikei, sekali gus mencerminkan sambutan luar biasa masyarakat terhadap acara yang bertujuan mengukuhkan perpaduan komuniti serta menggalakkan gaya hidup sihat.
Majlis pelepasan peserta disempurnakan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, bersama Pemanca Chan Pan Chan yang mewakili Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei dan ADUN Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.
Bagi kategori 10 kilometer, seramai 486 peserta mengambil bahagian melibatkan 288 lelaki dan 198 wanita, manakala kategori 3 kilometer mencatat penyertaan tertinggi dengan 1,859 peserta, sekali gus menunjukkan minat tinggi terhadap aktiviti rekreasi keluarga.
Residen Sarikei, Datu Micheal Ronnie Langgong berkata, peningkatan penyertaan tahun ini meneruskan rekod cemerlang penganjuran Sarikei Unity Run sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan jumlah peserta meningkat secara konsisten sejak 2022.
Dalam pada itu, penganjuran sulung Christmas Breakfast & Fair di Dewan Suarah Sarikei turut mencuri tumpuan apabila sebanyak 60 gerai menyertai Doremart Christmas Fair, sekali gus memberi peluang kepada peniaga tempatan menjana pendapatan.
Pelbagai aktiviti sampingan termasuk pertandingan pickleball, Pertunjukan Bakat dan Pertandingan Makan Terbanyak turut diadakan, sekali gus menjadikan program ini sebagai platform mengeratkan hubungan masyarakat berbilang kaum serta memacu aktiviti sihat dan ekonomi komuniti setempat. -EDISI UKAS