Dataran Pehin Setia Raja Dibanjiri Ribuan Penduduk Sempena Christmas Festival Parade Mukah
MUKAH: Lebih 5,000 pengunjung membanjiri Dataran Pehin Setia Raja dalam Christmas Festival Parade Mukah yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Hanifah Hajar Taib, pada Ahad.
Majlis perasmian tersebut turut diserikan dengan perarakan sejauh tiga kilometer diketuai oleh Dato Hanifah sebagai simbolik pembukaan festival.
Perarakan tersebut turut disertai oleh ribuan peserta daripada 15 kontinjen yang merangkumi pelbagai kategori dan latar belakang masyarakat.
Dalam ucapan perasmiannya, Dato Hanifah menegaskan bahawa festival ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi tanda perpaduan, ruang untuk masyarakat pelbagai latar belakang berkumpul bagi meraikan nilai kasih sayang, penghargaan dan keharmonian.
"Saya menyeru agar kita terus mengekalkan sikap saling menghormati antara satu sama lain.
"Kita perlu memperkukuh hubungan antara komuniti, meningkatkan kerjasama dan saling membantu di membina sebuah masyarakat yang lebih sejahtera, inklusif serta progresif," katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa penerimaan serta penghormatan terhadap kepelbagaian agama, budaya dan perayaan adalah asas penting dalam mengukuhkan perpaduan masyarakat.
Tambahnya, ia juga penting bagi menjadikan Mukah dan Sarawak sebagai contoh untuk negara.
Dalam pada itu, pelbagai persembahan kebudayaan dan hiburan yang disediakan kepada pengunjung bagi memeriahkan festival tersebut.
Antara artis jemputan pada festival tersebut ialah Afieq Shazwan, Haiza dan Ramles Walter.
Hadir sama, Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh, Pengerusi Persatuan Gabungan Gereja-Gereja Cawangan Mukah Pastor Jimmy, Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip, Pegawai Daerah Dalat Mathew Hubert dan Pengarah Urusan, CatsFM Iskandar Nawawi. -EDISI UKAS