Kemeriahan Perarakan Krismas Satukan Pelbagai Kaum di Sarikei
SARIKEI: Hujan lebat tidak mematahkan semangat penganut agama Kristian untuk menyertai perarakan Krismas yang berlangsung meriah di sini, malam tadi.
Perarakan yang bermula kira-kira jam 7 malam itu turut menarik kehadiran masyarakat pelbagai kaum dan agama dari sekitar Sarikei, Bintangor serta daerah berhampiran.
Program tersebut diserikan dengan pertunjukan kereta berhias yang membawa mesej keamanan, keharmonian dan nilai sebenar sambutan Krismas.
Kemeriahan perarakan turut menarik perhatian pengunjung yang tidak melepaskan peluang merakam gambar dan berswafoto ketika rombongan melalui kawasan bandar yang dipenuhi orang ramai.
Seorang peserta, Joanna Umang, 24, berkata penyertaannya dalam perarakan itu memberi pengalaman bermakna serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
“Saya sangat bersyukur dapat menyertai perarakan ini kerana ia bukan sekadar sambutan Krismas, tetapi juga ruang untuk merapatkan hubungan antara pelbagai kaum,” katanya.
Sementara itu, penduduk tempatan, Salimah Abu Bakar, 42, menyifatkan program berkenaan sebagai simbol keharmonian masyarakat walaupun berlainan agama.
“Program ini sentiasa saya nantikan setiap tahun kerana ia menunjukkan keharmonian dan semangat muhibah masih kukuh di Sarikei,” katanya.
Seorang pengunjung dari Julau, Harryson Nyaong, 29, berkata beliau dan keluarganya sanggup datang dari jauh semata-mata untuk menyaksikan perarakan berkenaan.
“Saya amat bersyukur dapat menyaksikan perarakan ini dan berharap kita semua terus hidup dalam suasana aman dan sejahtera,” katanya.
Perarakan Krismas itu dianjurkan oleh St Anthony Catholic Church dan menjadi antara acara tahunan yang dinanti-nantikan masyarakat setempat. -EDISI UKAS