Jubli Perak SK Hijrah Badong Lambang Kejayaan Kolektif Warga Sekolah
DARO: Sambutan ulang tahun penubuhan Sekolah Kebangsaan (SK) Hijrah Badong bukan sahaja menjadi medan memperingati sejarah, malah mencerminkan kejayaan kolektif warga pendidikan dalam membentuk generasi berilmu dan berakhlak.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, pencapaian sekolah berkenaan sepanjang 25 tahun penubuhannya membuktikan komitmen berterusan pihak sekolah dalam melahirkan murid yang berkualiti dan berdaya saing.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan sesebuah institusi pendidikan merupakan hasil gandingan erat semua pihak yang sentiasa bergerak seiring demi memastikan kecemerlangan pendidikan terus diperkasakan.
“Kejayaan SK Hijrah Badong wajar dijadikan inspirasi kepada generasi akan datang untuk terus melakar kecemerlangan,” katanya semasa Majlis Penutupan Sambutan Jubli Perak ke-25 Sekolah Kebangsaan Hijrah Badong, di sini, pada Sabtu.
Beliau turut menekankan kepentingan perpaduan, kerjasama dan semangat kekitaan sebagai asas dalam membentuk masyarakat dan modal insan yang berkualiti.
Dalam pada itu, Ahmad Johnie merakamkan penghargaan dan tahniah kepada pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru, pelajar serta ibu bapa atas usaha dan kerjasama padu dalam menjayakan sambutan Jubli Perak tersebut.
SK Hijrah Badong menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-25 dengan mengangkat tema “Mengukir Sejarah & Menyemai Perpaduan – 25 Tahun Inspirasi”, sebagai simbol perjalanan panjang sekolah ini dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing.-EDISI UKAS