Program Santai N9 Padungan Pupuk Semangat Kekitaan Dalam Keluarga PBB
KUCHING: Program Santai N9 Padungan dianjurkan untuk memupuk semangat kekitaan dalam keluarga Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak.
Ahli Parlimen Batang Sadong merangkap Ketua Cawangan PBB Padungan Rodiyah Sapiee berkata, program anjuran Kelab Rekreasi Kampung Lumba Kuda itu bukan sahaja mengisi masa hujung minggu dengan aktiviti bermanfaat, tetapi mempereratkan lagi silaturahim serta memupuk kesatuan dalam kalangan ahli PBB dan masyarakat setempat.
“Hari ini bukan sahaja hari untuk bersukan, tetapi hari untuk kita merapatkan hubungan, mengukuhkan kebersamaan dan meneguhkan semangat sebagai keluarga ‘kecil’ PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Cawangan Padungan,” katanya semasa berucap dalam program berkenaan di sini pada Sabtu.
Beliau menambah, pengisian program seperti aktiviti sukaneka, barbeku dan cabutan bertuah secara langsung akan mengeratkan silaturahim, merapatkan hubungan sesama ahli, memperkukuhkan semangat kekitaan dan dalam masa yang sama memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan peserta yang terlibat.
Sehubungan itu, Rodiyah menyeru agar semua yang terlibat dapat memanfaatkan pertemuan itu untuk mengukuhkan ukhuwah, berkongsi pandangan, meningkatkan semangat kekitaan dan memperhebatkan kerjasama dalam kalangan ahli parti.
Hadir sama, Timbalan Ketua Cawangan PBB Padungan Ir Haidel Heli, Naib Ketua Cawangan PBB Padungan Mohd Speri Abdul Karim, Setiausaha Cawangan Hossen Rail, Ketua Wanita Cawangan Hairiah Ideris, Ketua Pemuda Cawangan merangkap Pengerusi Kelab Rekreasi Kampung Lumba Kuda Mohd Rassid Hamdan dan Ketua Belia Cawangan Azrina Hassan. -EDISI UKAS