SRIAAB Bintulu Dipuji Terap Pendidikan Holistik Lahirkan Murid Berkualiti
BINTULU: Sekolah Rendah Integrasi Al-Amin Bintulu (SRIAAB) memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki sahsiah, disiplin dan nilai kemanusiaan yang tinggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, pendekatan pendidikan holistik yang diterapkan oleh sekolah tersebut wajar dipuji kerana mampu membentuk pelajar berakhlak mulia dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
“Walaupun latar belakang kita mungkin berbeza, nilai-nilai murni seperti kejujuran, hormat-menghormati, bekerjasama dan berbuat baik adalah nilai sejagat yang menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Takrim dan Graduasi Kali Ke-3 Sekolah Rendah Integrasi Al-Amin Bintulu di Hotel Kemena Plaza, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Johnny Pang turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua murid Tahun Enam yang diraikan, sambil menyifatkan kejayaan mereka sebagai hasil usaha, ketekunan dan semangat yang tidak pernah luntur.
Beliau juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para guru atas komitmen dan dedikasi mendidik, selain mengiktiraf peranan ibu bapa dan waris yang sentiasa memberikan sokongan moral, masa serta tenaga demi memastikan kejayaan anak-anak.
Mengulas hala tuju masa depan para graduan, beliau menasihati agar mereka terus berusaha dengan disiplin dan sikap positif, menghormati guru, menyayangi ibu bapa serta menjadi pelajar yang amanah dan bertanggungjawab.
Johnny Pang turut menegaskan komitmennya sebagai wakil rakyat untuk terus menyokong pembangunan pendidikan di Bintulu, sambil menekankan kepentingan kerjasama erat antara sekolah, ibu bapa dan komuniti bagi memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang berkualiti dan menyeluruh.-EDISI UKAS