Kerjasama Sekolah dan Ibu Bapa Kunci Kejayaan Murid
BINTULU: Kerjasama erat antara pihak sekolah, guru dan ibu bapa adalah faktor utama kejayaan para murid dalam mencapai kecemerlangan akademik dan pembentukan sahsiah mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, sokongan menyeluruh daripada semua pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan murid bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, malah memiliki nilai disiplin, tanggungjawab dan jati diri yang kukuh.
“Pencapaian murid hari ini adalah hasil usaha bersama.
“Dedikasi guru dan sokongan berterusan ibu bapa memainkan peranan besar dalam membentuk kejayaan dan keperibadian anak-anak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pengiktirafan Kecemerlangan Keseluruhan Sidang 3, Sekolah Kebangsaan (SK) Agama (A) Majlis Islam Sarawak (MIS) Bintulu 2025 pada Sabtu.
Johnny Pang menegaskan bahawa pendidikan masa kini perlu bersifat menyeluruh dengan menitikberatkan keseimbangan antara pencapaian akademik dan pembentukan karakter, sejajar dengan cabaran dunia yang semakin mencabar dan pantas berubah.
Beliau turut memuji pendekatan pendidikan yang dilaksanakan oleh SK (A) MIS Bintulu yang menekankan nilai murni, hormat-menghormati serta kemahiran insaniah sebagai asas melahirkan generasi berdaya saing dan berintegriti.
Dalam pada itu, beliau menggesa para murid agar menjadikan pengiktirafan yang diterima sebagai pembakar semangat untuk terus berusaha dan berani menghadapi cabaran baharu di masa hadapan.
Johnny Pang turut merakamkan penghargaan kepada para guru atas komitmen mendidik, serta ibu bapa dan penjaga atas kerjasama erat dengan pihak sekolah dalam memastikan kecemerlangan anak-anak.
Beliau berharap SK (A) MIS Bintulu akan terus menjadi institusi pendidikan yang melahirkan generasi unggul dan berupaya menyumbang secara positif kepada pembangunan masyarakat dan negeri.-EDISI UKAS