Langkah Progresif Lawas: Dari Sokongan Sosial ke Pembangunan Ekonomi
LAWAS: Golongan yang gigih berusaha dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran merupakan tulang belakang kepada pembangunan sosioekonomi setempat dan memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan masyarakat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, setiap aktiviti ekonomi, walaupun kecil tetap memberi sumbangan nyata kepada pembangunan ekonomi.
“Kita menjual lemiding, ayam, itik, kambing, dan pelbagai produk makanan. Jangan kita fikir bahawa kita tidak menyumbang kepada pembangunan ekonomi. Hakikatnya, kita semua menyumbang”, katanya ketika merasmikan Program Bakul Kasih dan Jelajah Wanita Zon Merapok di Service Centre Ulu Merapok pada Sabtu.
Tambah beliau, kemasukan pelbagai kemudahan ke kawasan pertanian, termasuk pelaksanaan projek pembangunan berskala besar, akan memberikan impak signifikan terhadap pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan sosial masyarakat setempat.
“Saya dimaklumkan oleh pihak JBALB bahawa di kawasan Ulu Merapok ini, mereka sudah bersedia untuk menerima permohonan sambungan bekalan air. Saya berharap Mini Service Center yang ada di sini dapat dihubungkan dengan bekalan air tersebut. Selain itu, kita juga akan terus mempertingkatkan liputan elektrik dan sistem telekomunikasi”.
Beliau berharap kemudahan-kemudahan ini, akan memudahkan perhubungan dan pergerakan, sekali gus menjadi pemangkin kepada pemasaran produk tempatan, pembangunan tanah, serta penglibatan dalam bidang perniagaan.
Pada majlis itu, Bakul Kasih Pemedulian diserahkan khusus untuk golongan pesakit kronik di kawasan Merapok yang kehilangan sumber pendapatan. Program ini bertindak sebagai simbol keprihatinan sosial, serta menyumbang kepada kesejahteraan sosial di peringkat akar umbi.
Turut diadakan penyerahan cek bernilai RM40,000 kepada tiga buah kampung yang terlibat dalam Program Pembelian Bunga, iaitu Kampung Tanah Sibagol, Kampung Bukit Puan dan Kampung Sasa. Program ini dilaksanakan sebagai usaha memperkasakam ekonomi rakyat luar bandar dan mengalakkan penyertaan komuniti dalam pembangunan daerah.
Kerjasama erat antara penduduk dan pihak berkepentingan perlu dikekalkan supaya Lawas terus berkembang menjadi daerah yang progresif, sejahtera, dan berdaya saing.-EDISI UKAS