Pelancongan Rentas Sempadan Rancakkan Ekonomi Limbang
LIMBANG: Kedudukan strategik Limbang sebagai daerah yang diapit oleh Brunei menjadikan ia destinasi pilihan pelancong rentas sempadan. Kehadiran pengunjung dari negara jiran bukan sahaja meningkatkan aktiviti pelancongan, malah merancakkan ekonomi tempatan dengan memberi limpahan pendapatan kepada peniaga dan pengusaha di daerah ini.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata penganjuran pesta dan acara berteraskan kaum, kebudayaan, keusahawanan, kreativiti serta hiburan sepanjang tahun berupaya menjadi pemangkin meningkatkan kemasukan pelancong ke daerah Limbang.
“Kita berusaha menjadikan Limbang sebagai salah satu tarikan pelancong. Kita juga akan mengadakan pesta-pesta sepanjang tahun untuk menarik kemasukan pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Expo Viral Limbang di Dewan Suarah Limbang pada Sabtu.
Menurutnya melalui penganjuran expo tersebut ia menjadi platform untuk mempamerkan produk tular, jenama tempatan serta penyertaan vendor luar daerah berjaya menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar Limbang, sekali gus merancakkan ekonomi setempat.
“Saya merakamkan tahniah kepada pihak pengelola atas penganjuran Expo Viral ini yang berjaya menarik kehadiran pengunjung dari luar Limbang, termasuk dari Brunei, khususnya untuk menyaksikan penampilan artis-artis jemputan.” ujarnya.
Dalam pada itu katanya penganjuran Expo Viral tersebut berperanan sebagai medium mempromosikan produk viral dan produk tempatan di samping menggalakkan pengembangan kreativiti serta elemen hiburan yang mampu menarik minat pelbagai lapisan masyarakat.
Menurutnya Limbang pada masa depan tidak lagi terpisah apabila siapnya Sarawak–Sabah Link Road, yang dijangka membuka lebih banyak peluang pembangunan ekonomi dan pelancongan di kawasan utara Sarawak, khususnya di Daerah Limbang.
Turut hadir Pengerusi Majlis Daerah Limbang merangkap Pengerusi Bersama Penganjuran Expo Viral Limbang, Sufian Mohat, Pengasas De Juwita Holdings Sdn.Bhd , Linda Juwita Jumardi, Wakil Setiasusaha Majlis Daerah Limbang, Diana Esa, Ketua Polis Daerah Limbang, SUPT Parom Niot.
Seramai 76 peniaga tempatan serta usahawan luar menyertai expo yang berlangsung selama empat hari itu, bermula 11 hingga 14 Disember.-EDISI UKAS