Kelab Harmoni Miri Terus Perkasa Pendidikan Anak Ibu Tunggal, 21 Tahun Konsisten Bantu Golongan Rentan
MIRI: Kelab Sosial dan Kebajikan Harmoni Miri terus membuktikan komitmen jangka panjangnya dalam memperkasa kebajikan serta pendidikan anak-anak daripada keluarga ibu tunggal menerusi penganjuran Program “Back to School” Agihan Dana Kebajikan Ke-21, yang berlangsung di Food Heaven Restaurant, Permyjaya, pada Sabtu.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, usaha berterusan kelab tersebut selama lebih dua dekad wajar dipuji kerana bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga kurang berkemampuan, malah berperanan penting memastikan anak-anak daripada latar belakang mencabar tidak tercicir daripada sistem pendidikan arus perdana.
Menurut beliau, pada peringkat awal pelaksanaan program itu, ramai anak ibu tunggal berdepan kekangan ekonomi serius termasuk ketiadaan pakaian seragam, beg sekolah, kasut serta kelengkapan asas pembelajaran, sekali gus menjejaskan keyakinan diri dan kehadiran mereka ke sekolah.
“Walau sesukar mana keadaan, kita tidak boleh memiskinkan pendidikan. Setiap anak berhak mendapat peluang untuk bersekolah dan menimba ilmu kerana pendidikan adalah kunci untuk mengubah masa depan,” katanya ketika merasmikan program berkenaan pada Sabtu.
Dato Sri Lee turut memaklumkan bahawa hasil sokongan berterusan menerusi Program “Back to School” serta keprihatinan masyarakat setempat, ramai anak yang pernah menerima bantuan kini berjaya melanjutkan pelajaran dan membina kerjaya profesional termasuk sebagai doktor, jurutera dan peguam, sekali gus menjadi bukti keberkesanan intervensi sosial berasaskan pendidikan.
Selain memberi tumpuan kepada bantuan pendidikan, Kelab Sosial dan Kebajikan Harmoni Miri juga aktif membantu keluarga ibu tunggal yang berdepan isu keselamatan dengan menjalin kerjasama bersama pihak berkuasa bagi memastikan kebajikan dan keselamatan mereka sentiasa terpelihara.
Sehubungan itu, Dato Sri Lee menyeru golongan yang telah berjaya hasil sokongan program tersebut agar tampil menyumbang kembali kepada masyarakat bagi membantu generasi seterusnya, selain berperanan mengurangkan masalah sosial dalam komuniti.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan para pelajar agar terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik serta memanfaatkan peluang pendidikan tinggi percuma yang ditawarkan di empat universiti milik Kerajaan Sarawak menerusi 64 program terpilih untuk anak Sarawak yang layak.
Pada majlis berkenaan, para penerima menerima sumbangan berupa beg sekolah, pakaian seragam, kasut dan alat tulis melalui Program “Back to School” Agihan Dana Kebajikan Ke-21, sekali gus membantu meringankan beban keluarga menjelang sesi persekolahan baharu.-EDISI UKAS