Dau Pengida Penan 2025 Jadi Pentas Lestari Budaya, Kukuh Silaturahim Komuniti
ULU BARAM: Program Penan Tribes Festival atau Dau Pengida Penan 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula 9 hingga 12 Disember 2025 di Ba’ Muboi, Ulu Baram, telah melabuhkan tirainya dengan penuh meriah serta menerima sambutan menggalakkan daripada komuniti setempat.
Festival yang menghimpunkan kira-kira 400 penduduk sekitar itu dianjurkan sebagai usaha memartabat dan menghidupkan budaya masyarakat asal di Baram yang kaya dengan kepelbagaian etnik serta adat resam unik, di samping menjadi platform memperkenalkan warisan budaya etnik Penan kepada masyarakat umum.
Pesta kebudayaan berkenaan turut menjadi landasan pelaksanaan aktiviti kecergasan dan kebudayaan secara bersama, dengan penglibatan menyeluruh pelbagai lapisan masyarakat serta sokongan agensi kerajaan dan pihak swasta.
Program ini juga membuka ruang interaksi masyarakat bagi merapatkan silaturahim, sekali gus mengukuhkan perpaduan komuniti melalui penyertaan aktif dalam pelbagai acara yang dianjurkan sepanjang festival berlangsung.
Dalam aspek sosioekonomi, penganjuran festival ini menyumbang kepada pemerkasaan komuniti tempatan menerusi penyertaan dalam aktiviti keusahawanan, termasuk jualan kraf tangan serta produk tempatan yang mendapat sambutan daripada pengunjung.
Selain itu, Dau Pengida Penan 2025 berperanan penting melestarikan budaya asal etnik Penan, khususnya melibatkan elemen kebudayaan dan adat resam, peralatan muzik tradisional, sukan rakyat, serta juadah berasaskan makanan tempatan.
Hadir memeriahkan program ialah Pegawai Daerah Telang Usan, Ezra Uda, selain wakil Sarawak Energy Berhad, Petronas SSGP, serta pemimpin masyarakat tempatan termasuk Pemanca Henesser Uning Bong dan beberapa penghulu kawasan.-EDISI UKAS