SRI AMAN: Seramai 1,313 penganut Kristian daripada tujuh buah gereja menyertai Perarakan Perayaan Hari Krismas 2025 yang berlangsung di sekitar Bandar Sri Aman, pada Sabtu.
Perarakan tersebut melibatkan penyertaan Gereja Roman Katolik (RC), Gereja Sing Eng Methodist, Gereja Shi En Methodist, Gereja Saint Luke, Gereja Sidang Injil Borneo (BEM), Victory Lutheran Church (VLC), Gereja Baptist, Gereja Seventh-day Adventist (SDA) serta Gereja Saint Lawrence.
Gereja Saint Luke mencatatkan penyertaan tertinggi dengan 579 peserta, diikuti Gereja Roman Katolik seramai 215 orang dan Gereja Saint Lawrence (201).
Turut mengambil bahagian ialah BEM (78), VLC (19), Gereja Baptist (40), Gereja Sing Eng Methodist (94), Gereja Shi En Methodist (65) serta Gereja SDA (22).
Perarakan yang dikendalikan oleh David Marshal itu bermula di Gereja Saint Luke pada jam 6.30 petang dan dianjurkan oleh Kesatuan Gereja Sarawak (ACS) Cawangan Sri Aman dengan kerjasama Gereja Saint Luke.
Sebelum perarakan dimulakan, para peserta berhimpun di Gereja Saint Luke bagi mengikuti acara kerohanian termasuk ucapan Pengerusi ACS Sri Aman, Ajai Janggong, pembacaan ayat Alkitab, nyanyian Koir Krismas serta khutbah.
Selepas selesai acara kerohanian, perarakan bermula pada jam 7.45 malam dengan laluan sejauh kira-kira 1.5 kilometer merangkumi Jalan Munggu Sabun, Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua Simanggang, Jalan Hospital dan bulatan Jalan Pasir Panas sebelum melalui Jalan Club serta Jalan Main Bazaar.
Secara keseluruhannya, perarakan tersebut berakhir di Taman Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman pada jam 9 malam dan berjaya dilaksanakan dengan teratur serta lancar.-EDISI UKAS