BELAGA: Tiga buah gereja di kawasan Murum menerima Cek Bantuan Dana Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) Tahun 2025 Fasa 3.
Tiga gereja yang menerima bantuan UNIFOR berkenaan adalah Gereja BEM Long Kajang, Sungai Linau berjumlah RM115,600, Gereja BEM Uma Daro, Apo Koyan sebanyak RM850,000 dan Gereja BEM Nanga Satik, Jelalong Tubau berjumlah RM90,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Kennedy Chukpai Ugon telah menyempurnakan majlis penyerahan tersebut di Gereja BEM Uma Daro, Uma Daro Liling Padong, Sungai Asap pada Ahad.
Berucap dalam majlis tersebut, Kennedy merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak melalui UNIFOR atas komitmen berterusan menyalurkan bantuan kewangan kepada rumah-rumah ibadat di seluruh negeri, khususnya di kawasan Murum.
"‘Diharapkan dana UNIFOR ini dapat dimanfaatkan sebaiknya selaras dengan permohonan yang diluluskan, demi menyediakan rumah ibadat yang selamat, selesa dan kondusif untuk kegunaan orang ramai," katanya.
Beliau turut menyampaikan pesanan daripada Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap UNIFOR, agar setiap peruntukan yang disalurkan digunakan sebaik mungkin mengikut tujuan permohonan yang telah diluluskan.
Menurutnya, setiap permohonan perlu melalui wakil rakyat setempat dan penggunaan dana tersebut hendaklah disusuli dengan laporan lengkap.
Kennedy turut meluluskan bantuan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada Gereja BEM Uma Daro.
Pada majlis tersebut, beliau berkesempatan melawat tapak pembinaan Gereja baharu BEM Uma Daro yang sedang dilaksanakan. -EDISI UKAS