14 Doktor Pakar Turun Padang, Lebih 300 Penduduk Meradong Terima Pemeriksaan Kesihatan Percuma
BINTANGOR: Seramai 14 doktor pakar turun padang bagi memberikan pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk di daerah Meradong di Dewan Komuniti Kampung Tanjung Bundung pada Ahad.
Program dengan prinsip mencegah lebih baik daripada mengubati itu merupakan anjuran Pusat Khidmat Parlimen P.206 Tanjong Manis itu berlangsung dengan kerjasama Kelab Lions Seduan Sibu, Rejang Medical Centre (RMC) dan Rejang Charity.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab berkata, program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjalani pemeriksaan kesihatan secara awal bagi mengelakkan risiko penyakit serius.
“Kesihatan perlu diberi keutamaan dan pemeriksaan awal amat penting bagi memastikan sesuatu penyakit dapat dikesan serta dicegah sebelum menjadi lebih kronik,” katanya semasa berucap.
Menurut beliau, perkhidmatan yang disediakan melibatkan pakar daripada pelbagai bidang termasuk mata, telinga, hidung dan tekak (THT), ortopedik, pediatrik, kesihatan wanita, pembedahan, serta pemeriksaan kesihatan am termasuk paras glukosa.
Dato Ir. Yusuf memberitahu, sambutan yang diterima amat memberangsangkan apabila lebih 300 penduduk hadir untuk mendapatkan perkhidmatan, sekali gus melebihi sasaran awal seramai 150 peserta.
Katanya, program sama sebelum ini pernah dianjurkan di Dewan Masyarakat Sare, Tanjong Manis serta di Pulau Bruit yang turut menerima sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.
Selain pemeriksaan kesihatan, ujar beliau, penganjur turut menyediakan cermin mata percuma kepada peserta yang layak serta mengagihkan bantuan barangan keperluan asas kepada golongan yang memerlukan.
Dato Ir. Yusuf berharap penduduk dapat memanfaatkan sepenuhnya nasihat yang diberikan oleh pakar serta mengambil langkah susulan di klinik atau hospital berhampiran bagi memastikan penjagaan kesihatan secara berterusan.
Dalam pada itu, beliau turut menyumbangkan sebanyak RM3,000 bagi membantu kelancaran penganjuran program tersebut.-EDISI UKAS