Program Bomba Bersama Pemimpin & Komuniti Tudan Tingkat Kesedaran Keselamatan Kebakaran
MIRI: Lebih 100 penduduk menyertai Program Bomba Bersama Pemimpin dan Komuniti Tudan yang berlangsung di Masjid Darul Iman, Tudan Fasa 2A, pada Ahad.
Program tersebut diadakan bagi meningkatkan kesedaran keselamatan kebakaran serta kesiapsiagaan menghadapi kecemasan di peringkat komuniti.
Program anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tudan Fasa 2A itu telah dirasmikan oleh Temenggong Abang Mohamed Abang Othman bagi mewakili Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin.
Dalam ucapannya, Temenggong Abang Mohamed merakamkan penghargaan kepada penganjur termasuk JKKK Tudan, KRT Tudan dan Masjid Darul Iman Tudan Fasa 2A atas usaha menjayakan program yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.
Beliau berkata penganjuran program seumpama ini penting sebagai platform pendidikan komuniti mengenai langkah pencegahan kebakaran, kaedah bertindak semasa kecemasan serta pembudayaan amalan keselamatan dalam kehidupan seharian, khususnya di kawasan kediaman dan premis komuniti.
Program turut diisi dengan ceramah serta demonstrasi penggunaan alat pemadam api (APA) oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sekali gus memberi peluang kepada penduduk mempelajari teknik asas pemadaman kebakaran secara selamat dan terkawal.
Pada majlis sama, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lutong, PBT II Henry Jugah turut menyerahkan dua unit alat pemadam api kepada JKKK Masjid Darul Iman Tudan Fasa 2A sebagai langkah meningkatkan tahap keselamatan kebakaran di kawasan masjid.
Program diakhiri dengan perasmian penambahan ruang solat baharu Masjid Darul Iman Tudan Fasa 2A, menzahirkan komitmen berterusan komuniti setempat dalam menambah baik kemudahan awam demi keselesaan dan kesejahteraan penduduk.
Turut hadir ialah Penghulu Nasir Rahim, KK Mohammad Suhaimi Obeng.-EDISI UKAS