Program Ceria Kasih YKN & Back To School 2026 Bantu 500 Murid di Kuching
KUCHING: Seramai 500 murid di 25 buah sekolah kawasan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuching dan Padawan menerima sumbangan menerusi Program Kebajikan YKN dan Back To School 2026 di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) pada Ahad.
Program tersebut diadakan bagi memastikan mereka memulakan sesi persekolahan 2026 dengan lebih yakin, ceria dan bersemangat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja meringankan beban ibu bapa, malah memberi suntikan motivasi kepada murid, khususnya yang bakal melangkah ke alam sekolah menengah.
Menurut beliau, program berkenaan turut melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Pendidikan Sarawak, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Padawan dan PPD Kuching, pihak sekolah serta guru-guru, selain sokongan rakan strategik seperti Sime Derby, Pekema dan Dutch Lady.
“Tanpa kerjasama semua pihak, kita tidak akan berada di tahap ini. Program ini memberi peluang untuk kita menyampaikan manfaat kepada murid dan membantu ibu bapa mengurus keperluan persekolahan anak-anak,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan pada Ahad.
Dalam pada itu, Dato Sri Nancy memaklumkan program Back To School pada tahun ini turut dilaksanakan di lokasi lain, termasuk membabitkan 200 murid di Lundu, menjadikan keseluruhan penerima manfaat bagi inisiatif tersebut mencecah 700 murid.
Beliau menegaskan, walaupun sumbangan yang disalurkan dapat mengurangkan beban persediaan persekolahan, ibu bapa kekal sebagai tunjang utama dalam membentuk masa depan anak-anak melalui perhatian, bimbingan serta pemantauan di rumah.
Katanya, cabaran semasa yang dipengaruhi teknologi dan media sosial menuntut pendidikan yang lebih menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada pembelajaran di sekolah, tetapi turut merangkumi pembentukan sahsiah, disiplin, keselamatan diri dan kesejahteraan emosi.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan murid agar belajar dengan tekun, menghormati ibu bapa serta guru, menjaga adab, dan berani memasang impian besar kerana setiap pelajar mempunyai potensi untuk berjaya.
Dato Sri Nancy turut berharap program Back To School diteruskan sebagai “jambatan kebaikan” yang menghimpunkan kerajaan, komuniti dan sektor korporat dalam usaha membina masa depan kanak-kanak yang lebih selamat dan sejahtera.-EDISI UKAS
Disediakan oleh : Maryam Zanariah Ibrahim
Foto : Maryam Zanariah Ibrahim