Setiausaha Kerajaan Sarawak Meriahkan Pertandingan Jemputan Pickleball GJPBS 2025
KUCHING: Kehadiran Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki telah memeriahkan serta menyerikan lagi Pertandingan Jemputan Pickleball Gabungan Jurutera Perunding Bumiputera Sarawak (GJPBS) 2025 yang berlangsung hari ini.
Lebih istimewa lagi, beliau sendiri bertanding mewakili Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak untuk bertanding dalam kategorip VIP Event.
Semangat yang ditunjukkan beliau menjadi pendorong anak-anak buah beliau apabila pasukan Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak muncul selaku juara pertandingan bagi kategori berkumpulan setelah menewaskan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).
Kejayaan tersebut sekaligus membolehkan mereka muncul selaku juara dan membawa pulang piala kejohanan, medal serta wang tunai berjumlah RM3,000, manakala SEDC akur di kedudukan kedua untuk membawa pulang hadiah berupa medal dan wang tunai berjumlah RM1,500.
Sementara itu, Institusi Jurutera Malaysia (IEM) menduduki tempat ketiga bagi kategori berkumpulan sekaligus membawa pulang hadiah medal dan wang tunai berjumlah RM1,000.
Bagi kategori VIP pula, tempat pertama menjadi milik Jabatan Kerja Raya (JKR) apabila mereka berjaya menundukkan pesaing terdekat, Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam saingan akhir kategori berkenaan.
Kemenangan JKR itu sekaligus membolehkan mereka membawa pulang hadiah medal dan wang tunai berjumlah RM1,000 manakala pasangan SEB akur dengan kekalahan tersebut untuk membawa pulang hadiah RM500.
Jabatan Tanah dan Survei (JTS) pula menduduki tempat ketiga bagi kategori VIP untuk membawa pulang hadiah berupa medal dan wang tunai sebanyak RM300.
Kejohanan kali ini melibatkan 16 pasukan keseluruhannya iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak, JKR Sarawak, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak, JTS Sarawak, SEB, IEM Cawangan Sarawak, Borneo Development Corporation (BDC) Sdn Bhd, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), SEDC, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), CIDB Sarawak, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) dan GJPBS. -EDISI UKAS