Infrastruktur Jalan dan Sekolah di Kawasan Kerap Banjir Selangau Terus Diberi Perhatian
SELANGAU: Keperluan menaik taraf infrastruktur asas termasuk jalan perhubungan dan kemudahan pendidikan di kawasan yang kerap dilanda banjir terus diberi perhatian apabila beberapa isu kritikal dibangkitkan dalam Program Pemimpin Bersama Rakyat Randau Pemansang di Rumah Limping Tabau Tengah, Stapang, di sini pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Ir. Christopher Gira berkata, antara tumpuan utama ialah cadangan menaik taraf jalan dari Rumah Damat ke Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Tajam bagi memudahkan pergerakan penduduk, khususnya ibu bapa menghantar anak ke sekolah apabila kawasan berkenaan dilanda banjir.
“Setiap kali musim banjir, jalan ini menjadi laluan penting kepada penduduk setempat dan penambahbaikan perlu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan serta kelancaran perjalanan, terutamanya melibatkan pelajar sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjelaskan intipati Pengumuman Bajet Sarawak 2026 oleh Premier Sarawak yang memberi penekanan kepada pembangunan rakyat serta penyelesaian masalah infrastruktur di peringkat akar umbi.
Selain itu, beliau turut memaklumkan isu pemindahan SK Nanga Tajam turut dibangkitkan berikutan sekolah tersebut sering terjejas akibat banjir, sekali gus menjejaskan sesi pembelajaran dan keselamatan murid.
Dalam pada itu, Ir. Christopher berkata isu menaik taraf jalan ke Nanga Tamin yang sering dinaiki air turut diberi perhatian, memandangkan laluan tersebut merupakan akses utama penduduk untuk urusan harian serta aktiviti ekonomi setempat.
Menurutnya, kerajaan sentiasa mengambil maklum pandangan dan keperluan rakyat di kawasan luar bandar, khususnya berkaitan infrastruktur asas, bagi memastikan pembangunan yang dilaksanakan benar-benar memberi impak kepada kesejahteraan masyarakat.
Program tersebut turut menjadi platform kepada penduduk setempat menyuarakan pandangan serta cadangan berkaitan pembangunan kawasan masing-masing agar tindakan susulan dapat diambil oleh pihak berkaitan.-EDISI UKAS