Pertandingan Bolasepak Terbuka di Padang Bolasepak Rumah Ikom Tarik 24 Pasukan
SARATOK: Penyertaan 24 pasukan dalam Pertandingan Bolasepak Terbuka di Padang Bolasepak Rumah Ikom, Senyawan membuktikan sambutan menggalakkan masyarakat terhadap penganjuran aktiviti sukan di peringkat komuniti luar bandar.
Pertandingan anjuran Biro Sukan Rumah Ikom, Senyawan itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri pada Sabtu.
Dalam ucapan perasmian, Mohamad Duri menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran aktiviti sukan sihat yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung atau rumah panjang, selaras dengan usaha membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
“Penganjuran aktiviti seperti ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah mampu merapatkan silaturahim dalam kalangan penduduk serta menyemai semangat perpaduan melibatkan semua lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau turut memuji tahap kerjasama yang ditunjukkan oleh jawatankuasa penganjuran, pasukan-pasukan bertanding serta orang ramai yang hadir, yang jelas memperlihatkan semangat kesukanan, perpaduan dan keharmonian kaum dalam kalangan masyarakat setempat.
Menyentuh aspek pembangunan kawasan, beliau berkata Senyawan turut menerima impak positif hasil usaha berterusan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), termasuk penyediaan gelanggang futsal berbumbung yang telah siap sepenuhnya dan kini dimanfaatkan oleh penduduk setempat.
Menurutnya, kemudahan tersebut bukan sahaja menyokong penganjuran aktiviti sukan, malah memberi ruang kepada belia dan penduduk setempat untuk menjalani gaya hidup lebih aktif dan sihat.-EDISI UKAS