MyLesen B2 Bentuk Pemandu Berhemah dan Bertanggungjawab
SIBU: Program Bantuan Lesen Memandu (MyLesen) Kelas B2 bukan sekadar memberi peluang kepada rakyat memiliki lesen memandu, sebaliknya bertujuan membentuk sikap pemanduan yang berhemah, berdisiplin dan bertanggungjawab dalam kalangan peserta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng berkata program berkenaan melibatkan seramai 2,900 peserta bagi kawasan DUN Bukit Assek, dengan 1,800 peserta terlibat dalam fasa pertama dan selebihnya 1,100 peserta.
“Program Bantuan Lesen Memandu ini bukan hanya soal mendapatkan lesen, tetapi lebih penting untuk membentuk sikap pemanduan yang beretika serta mematuhi undang-undang jalan raya demi keselamatan diri, keluarga dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Program Bantuan Lesen Memandu (MyLesen) Kelas B2 yang berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacred Heart, di sini, pada Ahad.
Menurut Chieng, program tersebut merupakan inisiatif Kerajaan MADANI yang memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat, khususnya golongan B40 dan mereka yang berpendapatan rendah.
Jelasnya, melalui program MyLesen, kos untuk mendapatkan lesen motosikal Kelas B2 hanya RM250 berbanding harga pasaran yang kebiasaannya mencecah antara RM800 hingga RM900.
“Perbezaan kos yang ketara ini memberi peluang kepada ramai rakyat, terutamanya belia dan pekerja, untuk memiliki lesen memandu secara sah tanpa beban kewangan yang tinggi,” katanya.
Tambah beliau, pendedahan latihan dan pendidikan yang diterima melalui program ini diyakini mampu melahirkan pemandu lebih beretika, sekali gus membantu mengurangkan kadar kemalangan, kecederaan, kehilangan nyawa serta kerosakan harta benda di jalan raya.
“Saya berharap semua peserta dapat memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin, mengikuti latihan dengan penuh komitmen dan seterusnya menjadi contoh pemandu yang baik,” ujarnya.
Hadir sama pada program tersebut ialah Ketua Cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Sibu, Jelapin Entalai dan Pengurus Akademi Memandu Suria Sibu, Tiong Sie Kiong.-EDISI UKAS