SIAC 2025 Perkukuh Sarawak Sebagai Hab Seni Antarabangsa
KUCHING: Sarawak terus mengorak langkah memperkukuh kedudukannya sebagai hab seni dan budaya bertaraf antarabangsa menerusi penganjuran Sarawak International Art Camp 2025 (SIAC 2025) yang menghimpunkan penggiat seni dari pelbagai negara, sekali gus memperluas jaringan kerjasama kreatif global.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, SIAC bukan sekadar program seni, sebaliknya menjadi platform pertukaran budaya, kolaborasi dan penerokaan idea kreatif merentasi sempadan.
Menurut beliau, penganjuran edisi kedua SIAC pada tahun ini mencerminkan perkembangan positif ekosistem seni di Sarawak, hasil komitmen padu komuniti seni tempatan serta kerjasama erat dengan rakan antarabangsa.
“Penyertaan 31 artis dari 14 negara membuktikan pengiktirafan global terhadap SIAC sebagai platform seni yang bermakna dan berimpak,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan SIAC 2025 dan Perasmian Pembukaan Pameran Seni, di Chung Hua Middle School No. 4, pada Ahad.
Beliau menegaskan, seni mempunyai keupayaan luar biasa untuk merapatkan jurang perbezaan budaya, bahasa dan latar belakang, selain memupuk keharmonian serta saling menghormati iaitu nilai yang sentiasa didukung oleh Sarawak.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Dr Abdul Rahman turut memaklumkan bahawa DBKU akan menganjurkan Festival Seni pertama pada tahun hadapan sempena Pesta Kuching dan sambutan Hari Bandaraya Kuching ke-38, sebagai langkah memperkukuh ekosistem kreatif bandar raya itu.
Festival berkenaan dijangka menyediakan platform lebih luas kepada artis tempatan dan antarabangsa, di samping mengangkat identiti Kuching sebagai bandar raya yang dinamik serta kaya dengan warisan seni dan budaya.
Kerajaan Sarawak dan DBKU, jelas beliau, akan terus memberi sokongan berterusan terhadap pembangunan seni, budaya dan pendidikan kreatif, yang bukan sahaja menjadi aset budaya, malah pemangkin inovasi, perpaduan sosial dan pelancongan berimpak tinggi.
Majlis berkenaan turut menyaksikan perasmian pembukaan Pameran Seni SIAC 2025, yang mempamerkan hasil karya peserta dengan pelbagai gaya, perspektif dan ekspresi artistik, sekali gus mencerminkan kepelbagaian budaya dan pemikiran kreatif global.
Turut hadir, Presiden Persatuan Seniman Sarawak (SAS), Sebastian Jong, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Dato Hilmy Othman, Kurator Jabatan Muzium Sarawak, Dr. Awangku Shahrir Naqiuddin, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak, Awang Ikman Awang Sapian serta wakil Chung Hua Middle School No. 4, Mok Chin Yaw.-EDISI UKAS