MBKS Diseru Jadi Peneraju PBT Sarawak Menjelang 2030
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) diseru untuk menjadi peneraju kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sarawak dalam usaha pembinaan negeri menjelang tahun 2030.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, MBKS perlu memainkan peranan utama dalam memacu pembangunan yang mampan serta berdaya saing.
"Tahun 2030 tidak akan menjadikan Sarawak sesuatu yang berbeza daripada hari ini, saya jamin, kerana kelajuan pembangunan yang sedang berlaku adalah sangat pantas, seumpama pesawat yang sedang berlepas.
"Oleh itu, kita perlu bersedia agar menjelang 2030, kita dapat memberitahu semua orang bagaimana Sarawak berjaya melakukannya
"Hal ini kerana anda melakukannya, kerana saya melakukannya, dan kerana kita melakukannya bersama-sama," katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Tahunan MBKS 2025 di sebuah hotel terkemuka di sini pada Ahad.
Datuk Amar Dr Sim menambah, kejayaan Sarawak pada masa hadapan bukan hasil usaha individu, sebaliknya dicapai melalui kerjasama semua pihak tanpa mengira perbezaan kadar kemajuan.
Justeru, beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak itu menyeru agar semua warga MBKS bekerja dengan bersungguh-sungguh selaku PBT terbesar di negeri ini.
"Supaya secara bersama, seluruh Malaysia memandang tinggi kepada kita dan menaruh harapan kepada kita, bukannya ketawakan kita," ujarnya.
Hadir sama, Datuk Bandar MBKS Dato Wee Hong Seng, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan Cr Tan Kai, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Kho Teck Wan serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ahmad Daniel Faiz