Kejohanan Bola Tampar Saberkas Jadi Platform Cungkil Bakat Sukan Tempatan
MUKAH: Kejohanan Bola Tampar Saberkas Campuran Edisi 1 2025 dilihat mampu menjadi platform penting dalam mencungkil serta melahirkan bakat sukan tempatan ke peringkat lebih tinggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine berkata, kejohanan tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada atlet tempatan untuk menonjolkan bakat, malah berperanan sebagai laluan pembangunan atlet secara berperingkat bermula dari peringkat sekolah hingga ke peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
“Penganjuran sukan seperti ini juga mampu menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda, sekali gus membantu mengurangkan masalah kesihatan dan sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyaksikan perlawanan akhir kejohanan tersebut sempena Karnival Sukan Saberkas (KASUS) Cawangan Tellian di Gelanggang Bola Tampar, SJK (C) Chong Boon, pada Ahad.
Royston menambah, penganjuran kejohanan secara konsisten berpotensi menjadikan Mukah dikenali sebagai bahagian yang aktif dalam penganjuran acara sukan bertaraf tinggi.
Tambahnya, perkembangan tersebut juga berupaya menarik minat pelabur serta penaja dalam industri sukan tempatan, sekali gus merancakkan pembangunan sektor sukan di kawasan berkenaan.
Kejohanan anjuran bersama Unit SABERKAS Pasar Mukah, Kelab Sukan Rekreasi Unique Mukah dan Champion Volleyball Club itu berlangsung dari 12 hingga 14 Disember 2025 dengan penyertaan 13 pasukan dari sekitar Mukah, Meradong dan Bintulu.
Dalam kejohanan itu, pasukan BTVC Meradong muncul juara dan membawa pulang wang tunai RM800 berserta piala dan medal, diikuti X-One Mukah sebagai naib juara dengan hadiah wang tunai RM600, manakala MDVA Mukah meraih tempat ketiga.-EDISI UKAS