BBP Bintangor Hargai Pengorbanan Anggota Menerusi Majlis Apresiasi 2025
BINTANGOR: Pengorbanan serta komitmen anggota bomba terus dihargai apabila Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor menganjurkan Majlis Apresiasi BBP Bintangor 2025 pada Ahad.
Majlis yang bertemakan Rock & Roll itu berlangsung di ruang bilik jentera BBP Bintangor dan dihadiri Ketua Balai, Mahmudin Narudin bersama ahli keluarga, penyelia pasukan serta semua anggota balai yang turut memeriahkan acara.
Program berkenaan diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap usaha berterusan anggota dalam melaksanakan tugasan penyelamatan, pemadaman kebakaran serta penyampaian perkhidmatan kecemasan kepada masyarakat.
Pada majlis tersebut, Mahmudin telah menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang Sukan Intershift BBP Bintangor 2025, Cabaran Kemahiran dan Taktikal serta Sukaneka Hari Keluarga BBP Bintangor 2025.-EDISI UKAS