Majlis Merarau Pra Krismas Kukuhkan Perpaduan Komuniti DUN Bukit Saban
SPAOH: Majlis Merarau Pra Krismas 2025 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban bukan sahaja menyemarakkan semangat perayaan, malah menjadi wadah penting memperkukuh perpaduan serta penyatuan kepimpinan masyarakat rumah panjang di kawasan Ulu Layar.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, majlis berkenaan turut menandakan pelancaran rasmi Gerempung Tuai Rumah (GTR) Ulu Layar sebagai platform penyatuan kepimpinan komuniti setempat.
“Penganjuran majlis seperti ini bukan sekadar meraikan Pra Krismas, tetapi menjadi medium penting untuk mengukuhkan silaturahim, perpaduan serta kerjasama dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di kawasan ini,” katanya ketika berucap pada majlis yang menghimpunkan kira-kira 900 orang penduduk di Dewan Masyarakat Spaoh, di sini pada Ahad.
Datuk Amar Douglas menambah, Sarawak amat bertuah kerana terus menikmati keharmonian kaum dan agama, sekali gus menyediakan suasana yang kondusif untuk kerajaan melaksanakan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban itu turut memuji kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang berwawasan dalam mengurus ekonomi negeri sehingga berjaya meningkatkan pendapatan Sarawak.
Beliau menjelaskan beberapa inisiatif penting yang diumumkan dalam Belanjawan Sarawak 2026, termasuk penambahan elaun RM400 kepada Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK), tambahan RM700 kepada Ahli Majlis Daerah, serta peningkatan kadar Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) kepada RM950.
Selain itu, katanya, pendidikan percuma bagi anak Sarawak untuk kursus tertentu di institusi pengajian tinggi milik Sarawak juga akan dilaksanakan bermula tahun 2026, melibatkan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), undang-undang dan kewangan, sebagai usaha memperkasa modal insan negeri.
Datuk Amar Douglas juga menegaskan bahawa pengiktirafan terhadap peranan KMKK adalah penting kerana mereka merupakan barisan hadapan dalam menyampaikan maklumat dan inisiatif kerajaan kepada rakyat, selain berperanan dalam perancangan serta pemantauan pelaksanaan projek di peringkat komuniti.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, pelbagai program peningkatan ekonomi sedang dan akan dilaksanakan di DUN Bukit Saban di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), termasuk program Tanam Baru Kelapa Sawit melibatkan 160 peserta serta Tanam Baru Lada melibatkan 439 peserta bagi tahun 2025.
Dalam majlis sama, Datuk Amar Douglas Uggah turut menyerahkan cek dana Unit Hal Ehwal Agama Lain (UNIFOR) berjumlah RM200,000 kepada Sekolah Kebangsaan St John, Betong bagi tujuan naik taraf dan pembinaan infrastruktur, serta tambahan RM13,000 bagi penyediaan kemudahan papan pintar, selaras dengan komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan pendidikan luar bandar.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abunawas, Pegawai Tadbir Menguasa Daerah Kecil Spaoh selaku Pemangku Pegawai Daerah Betong Denny Lim, Pengerusi GTR Ulu Layar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Bantan Jerman, serta ketua-ketua jabatan dan pemimpin masyarakat setempat.-EDISI UKAS