Penubuhan Persatuan Tuai Rumah Batang Pasai Perkukuh Peranan Kepimpinan Akar Umbi
SIBU: Penubuhan Persatuan Tuai Rumah Batang Pasai Sibu merupakan satu inisiatif penting dalam memperkukuh peranan tuai-tuai rumah sebagai penghubung antara kerajaan dan masyarakat di peringkat akar umbi.
Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta berkata, persatuan tersebut berperanan sebagai platform penyelarasan dalam penyampaian maklumat, pelaksanaan program serta penyaluran keperluan dan aspirasi rakyat kepada pihak kerajaan.
“Tuai-tuai rumah perlu sentiasa peka terhadap perkembangan dan pembaharuan semasa serta bersikap proaktif dengan mengunjungi pejabat-pejabat kerajaan bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan program, dasar dan pelbagai bantuan yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Makan Malam Perasmian Persatuan Tuai Rumah Batang Pasai, Sibu pada Sabtu.
Selain itu, Edwin turut menyarankan agar tuai-tuai rumah sentiasa berhubung serta menjalin kerjasama erat dengan jabatan dan agensi kerajaan bagi memastikan pelaksanaan program dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan usaha berterusan kerajaan dalam memperkasa pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat.
Katanya, baru-baru ini sebanyak RM4.8 juta peruntukan telah diluluskan oleh Premier Sarawak di bawah Projek Rakyat bagi pelaksanaan projek penanaman kopi di kawasan Parlimen Selangau
Dalam pada itu, Edwin turut mengumumkan peruntukan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM25,400 yang akan disalurkan kepada Persatuan Tuai Rumah Batang Pasai Sibu bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang.-EDISI UKAS