PBB Sibu Digesa Perkemas Persiapan Hadapi PRN Akan Datang
SIBU: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Sibu digesa memperkemaskan persiapan serta jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat.
Naib Yang Dipertua PBB Sarawak Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata, tahun 2026 merupakan tahun terakhir bagi Penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-19, sekali gus menuntut kesiapsiagaan awal semua peringkat parti.
Menurut beliau, mengikut peruntukan Perlembagaan Negeri, PRN Sarawak perlu diadakan sebelum tamat tempoh penggal, iaitu selewat-lewatnya pada awal tahun 2027 sekiranya tiada pembubaran awal.
“Berdasarkan pengalaman lalu, kita lazimnya tidak menunggu sehingga ke penghujung tempoh.
“Oleh itu, tahun hadapan merupakan fasa penting dan ujian besar kepada wakil-wakil rakyat serta jentera parti,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Mesra Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sibu yang berlangsung di Dewan LAKIS, di sini, pada Ahad.
Datuk Dr. Annuar yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I turut menyeru jentera parti di seluruh Sarawak agar memperkemaskan persiapan bagi memastikan kelancaran gerak kerja parti menjelang pilihan raya akan datang, seiring kejayaan yang telah dicapai sebelum ini.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan peranan pengundi baharu, khususnya golongan berusia antara 18 hingga 28 tahun, yang disifatkan sebagai kumpulan terbesar dan berpotensi besar dalam menentukan kemenangan parti.
“Ramai dalam kalangan mereka masih belum sedar bahawa mereka sudah layak mengundi atau belum mendaftar sebagai pengundi.
“Justeru, peranan ahli keluarga, ibu bapa dan masyarakat amat penting untuk memaklumkan dan menggalakkan mereka mendaftar,” katanya lagi.-EDISI UKAS