UNIFOR Salur RM90,000 Naik Taraf Gereja Methodist Iban Pasar Bintulu
BINTULU: Kerajaan Sarawak melalui Unit Agama-Agama Lain (UNIFOR) menyalurkan peruntukan berjumlah RM90,000 bagi kerja-kerja pembaikan serta naik taraf kemudahan Gereja Methodist Iban Pasar Bintulu, sekali gus memperkukuh keselesaan dan keselamatan penganut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming ditemui media pada Ahad berkata, peruntukan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memelihara kelestarian rumah ibadat, khususnya yang mempunyai nilai sejarah dan peranan penting dalam komuniti setempat.
Menurutnya, lawatan ke gereja berkenaan bertujuan meninjau keperluan semasa kemudahan di kawasan Tanjong Batu, selain memastikan kerja-kerja pembaikan dan naik taraf dapat dilaksanakan dengan berkesan melalui sokongan UNIFOR.
Beliau turut memaklumkan bahawa Gereja Methodist Iban Pasar Bintulu yang terletak di kawasan bandar itu mempunyai sejarah yang panjang serta kini menampung hampir 1,000 orang penganut, menjadikannya antara gereja Iban yang jarang terdapat di kawasan bandar.
Tambahnya, kekangan ruang yang dihadapi oleh gereja berkenaan menuntut perancangan peluasan pada masa hadapan, sekali gus memerlukan sokongan berterusan daripada UNIFOR bagi pembangunan jangka panjang.
Dalam pada itu, Johnny Pang menegaskan peranan gereja tersebut sebagai pusat ibadat utama komuniti Iban di sekitar Bintulu dan wajar diberi perhatian dari aspek kemudahan serta perancangan pembangunan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) atas komitmen berterusan menyalurkan peruntukan melalui UNIFOR bagi menyokong keharmonian serta perpaduan antara penganut pelbagai agama di negeri ini.-EDISI UKAS