Reyna Anis Dinobatkan Ratu Miss Regatta Lingga 2025
LINGGA: Pesona dan keyakinan diri yang tinggi menjadi taruhan terbaik buat Reyna Anis Griffin, 19, apabila beliau dinobatkan sebagai juara Miss Regatta Lingga 2025 sempena Pesta Regatta Lingga Edisi Ke-3.
Reyna, seorang pelajar Tingkatan Enam (STPM) berbangsa Iban dari Sri Aman berjaya menewaskan empat peserta lain sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai utama berjumlah RM3,000, piala, selempang, dan mahkota kejayaan.
Gadis yang memiliki bakat dalam seni tarian ini memukau barisan juri serta penonton menerusi persembahan yang penuh gaya dan jawapan yang meyakinkan sepanjang pertandingan berlangsung.
Naib johan disandang oleh Syrel Engrid Justine, 25, peserta dari Gedong yang berdarah kacukan Dusun dan Iban.
Syrel yang meminati bidang lukisan dan aktiviti lasak seperti hiking, membawa pulang wang tunai RM2,000, piala, selempang, dan mahkota.
Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Winona Elisha Jemak Raymond, 23, juga dari Sri Aman.
Winona yang gemar berjoging, bermain piano, dan memasak menerima hadiah wang tunai RM1,500, piala, selempang, dan mahkota.
Dalam pada itu, gelaran Best Dress atau Busana Terbaik menjadi milik Jemima Grand Kalau, 30.
Jemima yang merupakan pemegang Diploma Pelancongan dan seorang peniaga dalam talian membawa pulang wang tunai RM600 berserta piala dan selempang.
Saguhati pula diberikan kepada peserta termuda, Carolina Mengan Anak Melisa, 19, yang menerima wang tunai RM150.
Pertandingan Miss Regatta Lingga yang disertai oleh lima jelitawan tempatan ini bukan sahaja mengetengahkan elemen kecantikan luaran, malah turut menilai intelektual dan bakat peserta.
Penganjurannya disifatkan sebagai platform penting untuk memperkasakan wanita tempatan, di samping memeriahkan sambutan Regatta Lingga yang kini menjadi antara tarikan pelancongan utama di daerah tersebut.
Kemenangan Reyna Anis ini diharapkan mampu menjadi sumber inspirasi kepada golongan muda, khususnya wanita, untuk terus berani mencabar diri dan mengejar kejayaan dalam pelbagai bidang.-EDISI UKAS