PETRONAS Ringankan Beban Keluarga Luar Bandar Lambir Menjelang Sekolah Baharu & Krismas
LAMBIR: Pendekatan menyeluruh yang menggabungkan pemerkasaan pendidikan dan kebajikan komuniti terus menjadi fokus PETRONAS menerusi penganjuran Program PETRONAS Powering Knowledge: Back to School @ Lambir dan PETRONAS Memacu Kehidupan Krismas Lambir di Sekolah Kebangsaan Lambir Village, pada Ahad.
Majlis telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan II (Pembangunan Usahawan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Datuk Dr. Ripin Lamat.
Inisiatif berimpak tinggi itu menyasarkan keluarga luar bandar yang memerlukan, khususnya dalam membantu persiapan sesi persekolahan baharu serta meringankan beban kos sara hidup menjelang sambutan Krismas, selaras dengan komitmen tanggungjawab sosial korporat PETRONAS.
Menerusi program PETRONAS Powering Knowledge: Back to School, seramai 300 murid SK Lambir Village menerima set persekolahan lengkap merangkumi pakaian seragam, kasut, beg sekolah, bekas pensel dan alat tulis asas.
Sumbangan tersebut memberi kelegaan kepada ibu bapa serta memastikan murid dapat memulakan sesi persekolahan dengan lebih yakin dan selesa.
Sementara itu, program PETRONAS Memacu Kehidupan Krismas Lambir pula memanfaatkan 120 penerima daripada isi rumah di kawasan Lambir menerusi penyaluran barangan makanan asas, sekali gus membantu persediaan sambutan perayaan serta mengurangkan tekanan kewangan harian.
Kedua-dua inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan PETRONAS dalam memastikan komuniti luar bandar tidak tercicir daripada arus pembangunan, di samping menyokong aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak yang menekankan pemerkasaan modal insan dan pembinaan komuniti berdaya tahan.
Pelaksanaan program turut diperkukuhkan melalui kerjasama strategik bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak, bagi memastikan bantuan yang disalurkan menepati keperluan sebenar komuniti setempat.
Turut hadir Pengurus Besar Kanan PETRONAS Carigali Sdn Bhd – Aset Sarawak, Shalby Reduan, Pengurus Besar PETRONAS Sarawak, Norazibah Md Rabu, Pegawai Pendidikan Daerah Miri, Mariam Monek mewakili Pengarah JPNS, Ketua Bahagian Kesejahteraan Sosial JKM Sarawak, Nurin Chunggat mewakili Pengarah JKM Sarawak serta Guru Besar SK Lambir Village, Suhardi Junaidi.-EDISI UKAS