Disiplin Pelaksanaan Ditekankan Demi Kelancaran Projek Kerajaan
PANTU: Pelaksanaan projek kerajaan perlu mematuhi jadual yang ditetapkan bagi memastikan hasil pembangunan dapat dinikmati rakyat tanpa sebarang kelewatan atau implikasi negatif terhadap kesejahteraan mereka.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, kontraktor mesti bersedia dengan pelan pemulihan dan tidak menjadikan masalah di tapak bina sebagai alasan untuk gagal memenuhi tarikh siap yang telah ditetapkan.
"Bukan sahaja pelan pemulihan malah kontraktor-kontraktor utama juga perlulah bertindak mewujudkan pelan luar jangka sekiranya berlaku gangguan terhadap kelancaran projek pembinaan masing-masing.
"Penting sekali ialah kaji skop kerja yang telah dipersetujui terlebih dahulu. Ia penting agar kelewatan berhubung perkara ini tidak mendatangkan implikasi negatif terhadap hidup rakyat yang amat memerlukan hasil projek itu nanti," jelas beliau baru-baru ini.
Datuk Harden turut menegaskan bahawa kelewatan projek bukan sahaja menjejaskan keselesaan rakyat, malah membuka ruang kepada pihak tertentu mengapi-apikan isu tersebut hingga menimbulkan persepsi negatif terhadap wakil rakyat kerajaan.
"Justeru, saya mohon kepada kontraktor utama agar lebih bertanggungjawab dalam menyiapkan projek mengikut jadual agar ia tidak menjadi isu di kawasan itu nanti," katanya.
Terdahulu, beliau menyerahkan dokumen Projek Bina Baru Gelanggang Serbaguna Terbuka dan Struktur Berbumbung di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Pantu kepada syarikat RIE Enterprise.
Projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Simanggang itu menelan kos RM300,000 dan dijangka siap pada 4 Jun tahun hadapan.-EDISI UKAS