Regatta Lingga 2025 Pacu Pelancongan, Satukan Masyarakat Berbilang Kaum
LINGGA: Regatta Lingga 2025 terus membuktikan potensinya sebagai pemangkin pelancongan daerah serta medium penyatuan masyarakat apabila penganjuran acara sukan air berprestij itu melabuhkan tirainya dengan penuh meriah selepas berlangsung selama tiga hari di sini.
Majlis penangguhan regatta berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Ahad.
Berucap pada majlis tersebut, Dato Sri Abdul Karim menegaskan bahawa regatta merupakan antara sukan air tertua di Sarawak yang bermula sejak tahun 1873 dan terus memainkan peranan penting dalam memupuk perpaduan, keharmonian serta keamanan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Menurut beliau, penganjuran Regatta Lingga 2025 yang melibatkan sebanyak 41 pasukan termasuk penyertaan dari Brunei Darussalam membuktikan keupayaan acara ini untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan berimpak tinggi di peringkat daerah.
“Sebanyak 29 pasukan bertanding merebut gelaran Raja Sungai Lingga manakala 12 pasukan lagi bersaing dalam kategori Battle of Titans, sekali gus mencerminkan tahap persaingan yang sihat dan sambutan yang memberangsangkan,” katanya.
Beliau turut menyifatkan keunikan Sungai Lingga yang bersambung dengan Sungai Batang Lupar serta kaitannya dengan legenda Bujang Senang sebagai daya tarikan tersendiri yang mampu menarik lebih ramai pengunjung pada masa hadapan.
Justeru, para peserta disaran menjadi ‘duta kecil’ dalam mempromosikan Daerah Lingga sebagai destinasi pelancongan berasaskan warisan dan alam semula jadi.
Dato Sri Abdul Karim turut mengimbau bahawa Regatta Lingga telah dijenamakan semula pada tahun 2018 dan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri Sarawak sebagai acara dwi-tahunan.
Pada edisi terdahulu, kira-kira 10,000 pengunjung direkodkan hadir sepanjang penganjuran selama tiga hari.
Sementara itu, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri Sarawak serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Regatta Lingga 2025.
Beliau menyifatkan kejayaan penganjuran tersebut sebagai hasil semangat kerjasama, muafakat dan sokongan padu masyarakat setempat, selain menegaskan bahawa Regatta Lingga bukan sekadar acara sukan air, malah merupakan warisan budaya masyarakat sungai yang melambangkan identiti serta perpaduan pelbagai kaum sejak turun-temurun.
Menurut beliau, penganjuran kali ini turut berjaya menarik minat generasi muda serta pengunjung dari dalam dan luar kawasan, sekali gus menyumbang kepada kelestarian acara ini pada masa hadapan.
Selain acara regatta, pelbagai aktiviti sampingan seperti gerai jualan produk tempatan, pameran serta acara hiburan turut diadakan.
Berdasarkan data penganjuran edisi lalu, pendapatan peniaga dianggarkan mencecah antara RM1,000 hingga RM2,000 sehari, sekali gus memberi limpahan ekonomi secara langsung kepada penduduk setempat.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi, Timbalan Setiausaha MTCP Julin Alen, Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh serta Pegawai Daerah Lingga Frank Lani.-EDISI UKAS