HUS Menangi Anugerah Poster Keseluruhan Terbaik di Persidangan Kesihatan Pekerjaan Antarabangsa
KUCHING: Hospital Umum Sarawak (HUS) mencatat pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa apabila berjaya memenangi Anugerah Poster Keseluruhan Terbaik.
Anugerah tersebut diraih menerusi pelaksanaan Keselamatan, Kesihatan Pekerjaan dan Pengurusan Risiko sempena persidangan antarabangsa berprestij anjuran Scientific Committee of Occupational Medicine, International Commission on Occupational Health (ICOH) yang berlangsung di Lima, Peru, baru-baru ini.
Persidangan saintifik berkenaan menghimpunkan pakar dan profesional dalam bidang perubatan pekerjaan, kejuruteraan keselamatan, kebersihan industri serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan dari 56 buah negara.
Pencapaian ini membuktikan dedikasi Hospital Umum Sarawak dalam mengekalkan piawaian tinggi aspek keselamatan tempat kerja, perlindungan kesihatan pekerja serta pengurusan risiko.
Anugerah tersebut turut mengesahkan bahawa amalan pengurusan risiko pekerjaan dan prestasi kualiti Hospital Umum Sarawak memenuhi piawaian global, sekali gus mengukuhkan komitmennya dalam memastikan persekitaran kerja yang selamat dan sihat untuk warga kesihatan serta pesakit.-EDISI UKAS