Bantuan Awal Persekolahan Ringankan Beban Pelajar DUN Kedup
SERIAN: Seramai 265 pelajar daripada 22 sekolah rendah di kawasan DUN Kedup menerima Bantuan Awal Persekolahan dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung di Pejabat Pendidikan Daerah Serian pada Isnin.
Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap ADUN Kedup, Datuk Martin Ben sebagai inisiatif untuk meringankan beban kewangan ibu bapa dalam membuat persediaan awal persekolahan anak-anak mereka.
Setiap pelajar menerima baucar persekolahan bernilai RM100, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan yang disalurkan sebanyak RM26,500 yang diserahkan kepada Guru Besar setiap sekolah untuk diagihkan kepada pelajar yang layak.
Program ini mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak terhadap kebajikan pelajar, khususnya di kawasan luar bandar, serta selaras dengan usaha memperkukuh pembangunan modal insan negeri.
Turut hadir ialah Pegawai Pendidikan Daerah Serian, Bunsie Tunton serta Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Serian, Cr. Robin Kiek.-EDISI UKAS
Disediakan oleh:
Anthony Siong
UKAS Bahagian Serian