KUCHING: AirBorneo menegaskan komitmennya untuk mengekalkan tambang penerbangan yang berpatutan di seluruh rangkaian Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).
Menerusi satu kenyataan media AirBorneo pada Isnin, semua laluan yang dikendalikan oleh AirBorneo pada tempoh awal operasi berada di bawah rangkaian RAS, sama seperti laluan yang kini dikendalikan oleh MASwings dan meliputi kawasan di Sarawak, Sabah serta Wilayah Persekutuan Labuan.
"Struktur tambang yang ditetapkan telah diselaraskan bagi menyokong kesinambungan serta kelestarian operasi, dengan mengambil kira pemberian subsidi melalui perjanjian obligasi perkhidmatan awam bersama Kerajaan Persekutuan (Perjanjian RAS).
"Tiada sebarang kenaikan tambang dikenakan bagi mana-mana laluan AirBorneo berbanding kadar tambang MASwings.
"Rasional pelaksanaan Perjanjian RAS adalah untuk mengekalkan tambang pada paras yang munasabah, selaras dengan keperluan memastikan aksesibiliti perkhidmatan kepada rakyat di samping menjamin kelestarian operasi penerbangan," kata AirBorneo.
Tambah kenyataan itu, sebarang pelarasan tambang hanya akan dipertimbangkan selepas perjanjian RAS baharu dipersetujui secara bersama.
Dalam masa sama, AirBorneo memaklumkan pihaknya sedang membangunkan strategi harga mampu milik bagi laluan bukan RAS yang akan diperkenalkan pada masa hadapan.
Strategi tersebut mengambil kira kos operasi, nilai terbaik kepada penumpang serta peningkatan kesalinghubungan dan ketepatan masa penerbangan.
Maklumat lanjut berkaitan RAS boleh dirujuk menerusi laman sesawang Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Orang ramai juga boleh melayari laman rasmi AirBorneo di www.airborneo.com atau menghubungi khidmat pelanggan AirBorneo bagi sebarang pertanyaan.-EDISI UKAS