TPM Prihatin Keperluan Jemaah, Salur RM50,000 Kepada Surau Mahmudi
KUCHING: Keprihatinan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof terhadap keperluan jemaah setempat terserlah apabila beliau berkesempatan menyampaikan sumbangan Projek Mesra Rakyat (PMR) berjumlah RM50,000 kepada Surau Mahmudi di Jalan Matang, di sini pada Isnin.
Penyerahan cek berkenaan disampaikan kepada Pengerusi Surau Mahmudi, Bolhassan Makrof dalam satu majlis ringkas sejurus selesai menunaikan Solat Maghrib berjemaah di surau tersebut.
Bolhassan ketika ditemui pemberita berkata, sumbangan itu amat bermakna memandangkan peruntukan sedia ada surau berkenaan telah digunakan sepenuhnya bagi kerja-kerja menaik taraf fasiliti.
"Bahagian dalam kelihatan baharu, manakala kawasan luar termasuk pagar serta menara turut dinaik taraf sehingga peruntukan sedia ada hampir habis digunakan maka kami tidak dapat hendak membeli sejadah.
"Kami terus 'berbisik' dengan TPM untuk meminta bantuan dana maka beliau datang hari ini untuk menyampaikan dana tersebut," katanya.
Dalam perkembangan sama, Bolhassan turut memohon sokongan Datuk Amar Fadillah bagi membolehkan Surau Mahmudi diberikan kebenaran untuk mengadakan Solat Jumaat.
Jelasnya, kawasan Gita ketika ini hanya mempunyai sebuah masjid iaitu Masjid At-Taqwa di Jalan Pinang Jawa yang sering penuh, manakala masjid terdekat lain ialah Masjid Darul Husni di Taman Hussein yang jaraknya agak jauh.
"Kami sudah memohon dan dengan adanya surat sokongan dari TPM, Insya-Allah surau dapat digunakan untuk Solat Jumaat pada tahun hadapan setelah lima kali pemohonan," katanya.
Bolhassan menambah, keperluan tambahan lokasi Solat Jumaat amat mendesak memandangkan Surau Mahmudi berupaya menampung sehingga 400 jemaah, sekali gus memudahkan umat Islam di kawasan Gita menunaikan ibadah tersebut. -EDISI UKAS