ADUN Tebedu Tinjau Keadaan Mangsa Banjir Kilat & Tanah Runtuh
TEBEDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu Dr Simon Sinang Bada berkesempatan meninjau keadaan mangsa bencana banjir kilat dan tanah runtuh di Kampung Gahat Mawang serta Kampung Daha Mawang pada Isnin.
Beliau mengadakan lawatan dan tinjauan ke lokasi terjejas bagi melihat sendiri keadaan sebenar yang dihadapi penduduk, khususnya kerosakan kediaman akibat banjir kilat dan kejadian tanah runtuh.
Lawatan tersebut turut disertai oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Serian yang diketuai Robert Julong Bagat serta wakil beberapa agensi berkaitan termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pejabat Daerah Tebedu, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) serta agensi lain.
Antara fokus utama lawatan adalah meninjau kerosakan serius sebuah kediaman di Kampung Gahat Mawang, khususnya bahagian dapur dan bilik tidur yang runtuh akibat ditimbus tanah dari bukit berhampiran.
Dalam lawatan tersebut, pihak JKM turut menyampaikan bantuan makanan kering dan kelengkapan tidur kepada pemilik rumah sebagai bantuan awal bagi meringankan beban mangsa.
Dr Simon ketika ditemui mohon kepada pihak Pejabat Daerah Tebedu untuk menyenaraikan nama pemilik rumah itu di dalam Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) pada tahun 2026. -EDISI UKAS