Pembangunan Infrastruktur Luar Bandar Terus Diperkasa Di DUN Opar
LUNDU: Usaha memperkukuh kemudahan asas dan jaringan perhubungan luar bandar terus menjadi keutamaan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar bagi menyokong aktiviti ekonomi komuniti serta meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat.
Selaras dengan fokus tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang telah mengadakan lawatan tapak ke beberapa projek naik taraf jalan pertanian dan perhubungan kampung di Kampung Pasir Hulu dan Kampung Sebako 2 pada Isnin.
Antara projek utama yang ditinjau ialah Projek Naik Taraf Jalan Pertanian Benjay Fasa 2 di Kampung Pasir Hulu bernilai RM250,000 yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak bertujuan meningkatkan akses pengangkutan hasil pertanian serta memudahkan pergerakan harian penduduk, khususnya golongan petani.
Dalam lawatan yang sama, beliau turut meninjau perkembangan Projek Naik Taraf Jalan Rantau Panjang, Kampung Pasir Hulu serta Projek Penurapan Jalan Rumah ke Rumah Fasa 2 DUN Opar bagi memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut perancangan, mematuhi skop kerja dan mencapai tahap kualiti yang ditetapkan.
Di samping itu, beliau juga menghadiri upacara pemberkatan tapak Projek Pembinaan Jambatan Kampung Sebako 2 yang dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan jaringan perhubungan kampung, sekali gus menyokong aktiviti ekonomi dan sosial komuniti setempat.
Beliau menegaskan komitmen berterusan untuk melaksanakan pembangunan infrastruktur luar bandar di kawasan Opar secara berperingkat dan menyeluruh demi kesejahteraan rakyat.-EDISI UKAS
Disediakan oleh:
Mary Antionette Kadap
Jamsari Ahamad
UKAS Daerah Lundu